Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa, Koperal Do­mmy Tugok, 30-an dari Unit Pasukan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman sedang berdiri di depan kenderaan peronda polis di lorong kecemasan untuk memeriksa sebuah bas.

Tiba-tiba SUV jenis Volkswagen Tiguan yang dipandu seorang pemuda berumur 21 tahun hilang kawalan dan merempuh kende­raan peronda polis itu dan sete­rusnya mengenai mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan pemandu SUV ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mangsa dibawa ke Hospital Serdang dan bedah disiasat dibuat pada pukul 9 pagi tadi. Sampel air kencing dan darah pemandu SUV telah diambil bagi ujian makmal dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.

“Pemandu SUV akan dibawa ke Mahkamah Kajang untuk direman dan sitaan kenderaan dibuat mengikut Seksyen 60 Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, siasatan awal mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas di tempat kejadian manakala keadaan cuaca ketika itu adalah baik.

Ujarnya, kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu SUV itu yang gagal mengawal kenderaan semasa memandu lalu langgar belakang kereta peronda polis dan sete­rusnya melanggar anggota terbabit lalu tercampak ke bahu jalan.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.