Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi ketika mangsa, Abdul Aziz Siraj, 49, yang merupakan anggota polis bantuan bersama seorang rakannya menjalankan rondaan dari arah Alor Gajah menghala ke Ayer Keroh.

Mangsa yang berasal dari Bukit Pasir, Muar, Johor mengalami kecederaan parah di kepala dan badan bagaimanapun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka pada pukul 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, sebelum kejadian dua pekerja itu memberhentikan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di tepi lebuh raya untuk mengambil serpihan tayar yang dikesan di lorong kecemasan.

"Sebuah lori membawa muatan ayam tiba-tiba gagal dikawal lalu merempuh bahagian belakang kenderaan PLUSRonda itu menyebabkan salah seorang mangsa tercampak ke bahu lebuh raya dan mengalami kecederaan parah.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka manakala rakannya yang berusia 52 tahun mengalami cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut A. Asmadi, lori yang terlibat dalam kemalangan itu terbabas ke laluan bertentangan dan melintang sehingga menutupi kesemua tiga lorong arah utara.

Pemandu lori berusia 34 tahun itu bagaimanapun hanya cedera ringan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE