Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika Mohd. Hamizan Mustapha, 34, yang bertugas di Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh itu dalam perjalanan menyertai operasi menyelamat di Taman Pakatan Jaya, Bercham.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin berkata, anggota terbabit yang cedera di tangan kini ditempatkan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Katanya, pemeriksaan lanjut akan dilakukan bagi memastikan tiada kecederaan dalaman dialami anggota itu.

"Kejadian berlaku berhampiran kawasan balai dan Mohd. Hamizan yang menunggang motosikal jabatan itu keluar sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan bagi menyelamat seorang wanita yang terjatuh ke dalam longkang.

"Bagaimanapun, semasa sampai di tempat kejadian, sebuah kereta telah keluar dari simpang secara tiba-tiba dan menyebabkan motosikal ditunggang mangsa terbabas masuk ke dalam longkang manakala mangsa pula tercampak di atas jalan," katanya. - UTUSAN ONLINE