Muhamad Faizal Hussin, 21, berkata, dia baru tiba di tempat kejadian dan mendapati bapanya, Hussin Jikan, 61, tersungkur di atas motosikalnya.


Anak kedua mangsa yang membantu bapanya mengambil upah mengait kelapa sawit itu berkata, dia terkejut apabila mendapati banyak kesan darah sebelum melihat leher bapanya hampir putus.


“Saya membawa gerabak dan tiba sedikit lewat berbanding bapa, apabila sampai nampak motosikalnya terbalik dan bapa tersungkur di atasnya seperti sedang merukuk.


“Saya segera menelefon ahli keluarga lain dan mendapati bapa terkena mata sabit yang sedang dibawanya untuk ke kebun berhampiran,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Bari, di sini sebentar tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, Hussin maut setelah lehernya dipercayai terkena mata sabit yang digunakannya pada alat pengait kelapa sawit.


Arwah Hussin meninggalkan isterinya, Misiah Seri, 53, dan lima anak berusia antara 15 hingga 22 tahun serta dua anak lagi hasil perkahwinan terdahulu.


Sementara itu, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Mislam, di sini kira-kira pukul 9 malam tadi. -UTUSAN ONLINE