Remaja berkenaan, Wan Muhammad Hazim Wan Mohd. Fauzi, 19, berkata, bapanya, Wan Mohd. Fauzi Wan Ibrahim, 51, yang bekerja di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya meminta dia menyertai keluarganya menghantar adiknya, Wan Norathirah, 18, ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, dia menolak permintaan untuk mengikut ahli keluarga yang lain untuk tinggal di rumah mereka di Putrajaya.

“Saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku. Saya serba salah sebab tidak ikut keluarga saya ke Kuantan.

“Dua kali ayah minta saya mengikuti mereka. Saya memang jarang ikut sebab perlu uruskan perniagaan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Jempol di sini.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang semalam seramai lapan individu maut dengan enam daripadanya rentung dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong dekat sini.

Enam ahli keluarga Wan Muhammad Hazim yang terlibat dalam nahas itu dan ditemukan rentung ialah bapanya, Wan Mohd. Fauzi dan ibunya Masnoraida M. Yusoof,45; serta adik-beradiknya Wan Muhammad Muhaimin, 22; Wan Norathirah, 18, Wan Muhammad Amar Haziq, 13, dan Wan Noralesya, 7.

Kenderaan tersebut terbakar selepas bertembung dengan sebuah treler yang terbabas ketika cuba memotong sebuah motosikal menjual aiskrim.

Kejadian itu turut meragut dua nyawa pemandu dan penumpang sebuah Perodua Myvi iaitu Osman Mohamad Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32.

Dalam pada itu, Wan Muhammad Hazim berkata, dia turut sedih kerana tidak dapat menunaikan janjinya untuk membelikan ibunya yang bekerja di Pejabat Tanah dan Galian Putrajaya sebuah kereta Honda.

Menurutnya, ibu bapanya membuat permintaan itu sebelum bulan Ramadan memandangkan dia telah memiliki perniagaan sendiri dan mampu membelikan kenderaan tersebut.

Katanya, dia mendapat tahu tentang kemalangan itu apabila menonton siaran berita di televisyen pada pukul 8 malam semalam dan telah menjangkakan melibatkan keluarganya.

“Saya jadi takut dan menangis waktu itu. Kemudian seorang sepupu saya menghubungi saya dan memaklumkan kejadian itu. Kira-kira pukul 6 petang anggota polis datang ke rumah di Putrajaya memaklumkan perkara sama,” katanya.