Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Dr. Norhisham Iskandar Mamad, 35, bagaimanapun hanya cedera ringan manakala isterinya yang dikenali sebagai Dr. Ayin, 33, pula cedera di kepala sedangkan bahagian depan dan sisi kereta yang dinaiki remuk teruk.

Dr. Norhisham Iskandar adalah anak kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh.

Pasangan suami isteri yang menaiki kereta jenis Mazda itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah mereka di Hulu Terengganu.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu dikatakan hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum merempuh besi penghadang kiri lebuh raya.

Dalam pada itu, Mamad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, anak dan menantunya ke Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu atas urusan kerja.

"Saya dimaklumkan pagi ini mereka terlibat kemalangan, Alhamdulillah mereka selamat dan hanya cedera ringan," katanya, di sini hari ini.

Menurut Mamad, Norhisham Iskandar bertugas di Klinik Mamad miliknya di Kuala Berang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu. - UTUSAN ONLINE