Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, banjir kilat yang menenggelamkan banyak kawasan di negeri ini sejak kelmarin disebabkan air naik dalam masa yang singkat.

Dalam masa sama, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan penglibatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di negeri ini.

“ATM menggerakkan kira-kira 200 pegawai dan anggota di bawah naungan Devisyen Kedua Infrantri Malaysia (2 Div) terutamanya dari pasukan Batalion Kedua Askar Melayu Diraja.

“Turut terlibat ialah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja dan Rejimen 509 Askar Wataniah serta beberapa lagi unit sokongan di bawah naungan 2 Div,” katanya selepas melawat Flat Taman Penang Free School di sini pagi tadi.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. - UTUSAN ONLINE