Muhammad Faiz
Muhammad Faiz

Muhammad Faiz Hafizuddin me­rupakan pelajar Maahad Tah­fiz Al Hashimi yang terlibat dalam kemalangan meragut tujuh nya­wa, Ramadan lalu.

Lebih bermakna, tiga kalimah iaitu ‘Allah’, ‘umi’ dan ‘abah’ menjadi perkataan terawal keluar dari mulut Muhammad Faiz Hafizuddin menyebabkan bapanya, Mohd. Izahir Kassim dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha menangis kegembiraan.

Menurut Mohd. Iza­hir, 45, anak kedua da­ripada lima beradik itu tiba-tiba sahaja kede­ngaran memanggil dia dan isterinya, awal pagi semalam.

“Syukur sangat-sa­ngat kerana sudah lama kami sekeluarga me­nunggu untuk dengar suara Faiz. Dia sedarkan diri awal Julai lalu tetapi hanya mampu mengge­rakkan kaki dan tangan tanpa ada suara keluar daripada mulutnya.

“Walaupun tidak boleh bercakap sempurna lagi dan hanya kedengaran bunyi yang perlahan, kami anggap ia sebagai hadiah tidak ternilai,” katanya ketika dihu­bu­ngi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Izahir, sudah lebih lima bulan anaknya berada di hospital dan itu kali pertama mereka mende­ngar suaranya menyebut berulang-kali nama Allah dan memanggil umi dan abah.

Muhammad Faiz Hafizuddin, 17, adalah salah seorang daripada tujuh pelajar dan guru sekolah itu yang terselamat dalam tragedi kemalangan jalan raya pada Ramadan lalu yang telah meragut tujuh nyawa pelajar lain.

Pada 2 Jun lalu, van yang dinaiki 14 pelajar dan guru Maahad Tahfiz Al Hashimi dalam perjalanan ke program tadarus Al Quran di Kota Bharu telah terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kuala Krai.

Kejadian itu meragut nyawa tujuh daripada mereka iaitu Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14 ; Sarifuddin Muhammad, 14; Ahmad Farhan Zul­kif­li, 14 dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17.

Akibat kemalangan itu, Muhammad Faiz Hafizuddin meng­alami pendarahan dalam kepala selain patah di dua tempat pada tulang belakang sehingga terpaksa menjalani pembedahan memasukkan skru.