Ahli Lembaga Pengarah Panorama Langkawi Sdn. Bhd., Datuk Azizan Noordin berkata, kerosakan berhampiran stesen pertama semalam bukan berpunca daripada kegagalan syarikat berkenaan mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

“Setiap malam kita akan me­lakukan penyelenggaraan bagi memastikan gondola selamat dinaiki pengunjung. Malah, sejak 15 tahun lalu kita melakukan penyelenggaraan berkala setiap minggu bagi peralatan tertentu.

“Kejadian petang semalam memang di luar kawalan kami apabila alas bebola pecah hingga menyebabkan gondola tersebut tidak dapat berfungsi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Azizan yang juga Ke­tua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), pihaknya telah memaklumkan kepada syarikat yang memba­ngunkan perkhidmatan SkyCab iaitu Doppelmayr dari Austria untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai yang tidak dapat menaiki kereta kabel semalam boleh membuat tuntutan bayaran selain pihaknya turut menanggung kos penerbangan dan penginapan bagi enam pelancong dari China yang terlepas kapal terbang.