Pengurus Taman Kinabalu, Yasin Miki berkata, arahan itu dikeluarkan selepas membuat penilaian terhadap aspek keselamatan selain keadaan laluan yang dikhuatiri tidak selamat kesan gegaran tersebut.

“Semua aktiviti pendakian telah dihentikan buat sementara waktu bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kajian dan penelitian terhadap aspek keselamatan di sepanjang jalan pendakian ke puncak.

“Bagaimanapun tiada kerosakan teruk berlaku di sepanjang laluan dari kaki gunung ke Laban Rata namun laluan dari Pana Laban ke puncak masih lagi dalam proses pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, kesemua 209 individu termasuk 130 pendaki yang berada di Laban Rata untuk mendaki puncak Gunung Kinabalu berjaya dibawa turun ke Timpohon Gate pada pukul 4.20 pagi tadi. - UTUSAN ONLINE