Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu seperti merasai keperitan kehilangan ahli keluarga apabila hanya termenung dan mengalirkan air mata setiap kali disapa saudara-mara.

Apatah lagi kali ini dia terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tinggal sehari lagi secara bersendirian tanpa kelibat insan tersayang yang dipanggil Abi, Umi dan Adik.

Neneknya, Radziah Abu Bakar, 57, memberitahu, Mohd. Akil Aliyuddin yang cedera di kaki masih trauma dengan kejadian itu dan enggan bercakap dengan sesiapa.

“Saya cuba mengelak untuk bercakap mengenai kejadian itu dan memujuknya bercakap hal-hal lain, namun Akil enggan membuka mulut langsung.

“Air matanya mengalir keluar tanpa suara seolah-olah menangis dalam hati. Luluh hati saya melihatnya. Saya kuatkan semangat dan beritahu dia masih ada tok abah dan tok umi,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang hari ini.

Mohd. Akil Aliyuddin merupakan anak pasangan Mohd. Amin Firdaus Zakaria, 29, dan Mursyida Ahmad Latfi, 29, yang terkorban dalam nahas di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada pukul 1.20 pagi ini. Adiknya, Nur Hana Jannati, lima bulan turut maut.

Nahas tersebut turut mengorbankan pasangan kembar Mur­syida iaitu Munira, 29, suaminya, Norazami Mahat, 41, serta dua anak mereka, Raudatul Shazwina, 4, dan Mohd. Rifqi, tiga bulan.

Mengulas lanjut, Radziah memberitahu, Mohd. Akil Aliyuddin buat sementara waktu akan tinggal bersama dia dan suami­nya, Ahmad Latfi Mat, 60, di kediaman mereka di Kampung Kubang Badak, Kota Jembal, Kota Bharu.

Dia dalam pada itu beiau berkata, sebelum bertolak pulang ke kampung dari kediaman di Shah Alam, anak-anak kembarnya iaitu Mursyida dan Munira merancang mahu memasak juadah istimewa pada pagi Aidilfitri nanti.

Katanya, anak keempat dan kelima daripada lapan beradik itu mahu bergotong-royong menyediakan sup kaki lembu dan sate pada hari raya pertama serta soto istimewa pada hari raya kedua.

“Selepas maghrib saya ada hantar mesej menerusi WhatsApp bertanyakan keadaan mereka. Hanya Norazami membalas memberitahu mereka dalam perjalanan pulang.

“Saya merancang menelefon mereka selepas tarawih, namun Allah takdirkan saya tertidur dan hanya terjaga kira-kira pukul 2 pagi selepas saudara saya menelefon memberitahu kejadian tersebut,” katanya.