Selain motosikal yang ditunggang lelaki bersama remaja perempuan berusia 19 tahun itu, turut terlibat dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10 malam tadi adalah sebuah motosikal lain serta dua buah kereta.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, kejadian itu dipercayai berlaku selepas motosikal berkenaan cuba memasuki Jambatan Pulau Pinang secara berlawanan arus mengakibatnya bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Akibatnya, kata beliau, motosikal yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Bayan Lepas ke Seberang Jaya itu terjatuh sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Kelisa yang kemudiannya dilanggar pula oleh sebuah kereta Chevrolet Cruise.

Tambahnya, lelaki yang menunggang motosikal secara melawan arus itu mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan di dalam kepala selain lebam di muka dan luka di paha kanan.

"Remaja perempuan yang membonceng motosikal itu pula cedera di bahagian kepala, paha dan kaki manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera di bahagian kaki.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anuar, pemandu dua buah kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE