Tinjauan dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang diketuai Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kol. (PA) Che Adam A. Rahman termasuk di pantai Batu Buruk, Kampung Kubang Ikan, pantai Mengabang Telipot dan Pulau Redang.

Che Adam yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, fenomena air pasang itu berlaku sekitar pukul 11.25 malam tadi dengan paras air di Pantai Batu Buruk mencecah 2.88 meter.

Selain itu, jelasnya, air pasang turut melimpah ke jalan raya terutama di Kampung Kubang Ikan dan juga Kampung Kuala Hiliran berdekatan Pasar Chabang Tiga di sini.

"Angin dan ombak sangat kuat sehingga paras air naik di beberapa lokasi termasuk di Pantai Batu Buruk, Kampung Kubang Ikan dan Kampung Kuala Hiliran.

"Namun keadaan semakin baik dan berkurangan berdasarkan ramalan fenomena ini maksimumnya antara pukul 11 hingga 11.30 malam ini (malam tadi)," katanya di sini.