Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt. Kol (PA) Che Adam Abdul Rahman berkata, ini termasuklah sekitar Pantai Tok Jembal, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Batu Buruk dan Pantai Cendering,  pantai Kuala Besut dan Pantai Kuala Kemaman serta kawasan-kawasan rendah.

“Jika jumlah taburan hujan melebihi tahap normal bersama dengan kenaikan paras air laut, kita jangka situasi banjir akan lebih serius di lokasi berisikoi yang dinyatakan di samping kawasan rendah yang padat penduduk.

“Paras tertinggi air laut berdasarkan bacaan cerapan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang dicatatkan di Cendering adalah pada malam ini dengan 2.889 meter manakala esok pula 2.829 meter jadi, penduduk dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pasca banjir di Bilik Gerakan Bencana Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Banjir di Terengganu kembali pulih semalam setelah keadaan cuaca baik sejak kelmarin membolehkan kesemua mangsa yang terpaksa berpindah kembali ke rumah masing-masing dengan pusat pemindahan terakhir ditutup menjelang tengah hari di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Marang.

Sementara itu, Che Adam berkata, semua agensi pengurusan banjir terlibat sentiasa bersiap siaga dalam semua aspek termasuk soal pengurusan logistik dan sumber manusia bagi memastikan urusan memindahkan serta menyelamatkan mangsa berjalan lancar.

Katanya,  Bilik Gerakan Bencana Negeri diaktifkan operasinya ketika ini mengikut waktu pejabat bagaimanapun, jika keadaan kritikal dan berlaku pemindahan maka ia akan diaktifkan semula dalam tempoh 24 jam. - UTUSAN ONLINE