Penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa segera membantu membawa keluar warga emas terbabit ketika api sedang marak dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang.

TIGA beradik buta sebak selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Titi Besi, Arau
TIGA beradik buta sebak selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Titi Besi, Arau, Perlis hari ini. - UTUSAN ONLINE

Berikutan kejadian itu, mangsa, Halijah Ibrahim, 78, Che Manai,73, dan Zainah,67, tinggal sehelai sepinggang selain kerugian lebih RM10,000 apabila wang tunai, barangan kemas serta pelbagai barangan berharga lain termasuk kelengkapan serta baju raya mereka musnah dalam kebakaran tersebut.

Bagi warga emas itu, sambutan Hari Raya Aidilfitri Rabu depan sudah tidak bermakna selepas rumah pusaka yang dihuni tiga beradik buta itu sejak puluhan tahun lalu itu musnah.

ZAINAH IBRAHIM
ZAINAH IBRAHIM 

Salah seorang mangsa, Zainah berkata, ketika kejadian, dia yang ingin mengambil tuala di kawasan tangga di dalam kediaman tersebut terasa bahang api dan bunyi letupan.

Katanya, manakala kakaknya Halijah sedang berehat di bahagian dapur dan Che Manai pula sedang mengambil air sembahyang.

Ujarnya, selepas itu, mereka berasa api semakin marak seterusnya menjerit meminta tolong.

“Saya baru pulang daripada berniaga barangan kraftangan di bandar. Ketika hendak mengambil tuala untuk mandi, saya terasa bahang cukup panas dan letupan seperti mercun.

“Selepas itu, saya terus menjerit. Nasib baik jeritan kami didengari oleh penduduk kampung yang segera datang. Kalau tidak, tidak tahu lah apa nasib kami,” katanya sebak ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, mereka merancang untuk memasak bersama makanan untuk hari raya nanti, namun semua barangan yang dibeli itu musnah.

“Malah baju raya juga musnah sama sekali selain kad pengenalan dan geran tanah juga habis terbakar,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah menyiarkan kisah mengenai perjuangan hidup tiga beradik ini selepas disahkan buta sejak kecil. - UTUSAN ONLINE