ORANG ramai hanya mampu melihat kebakaran melibatkan empat buah rumah teres di Taman Sejati, Sungai Petani, Kedah, malam semalam. utusan/ABD. RAZAK OSMAN

Malah kebakaran yang dikatakan bermula dari rumah salah seorang mangsa, Zakaria Awang, 53, itu mengakibatkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah berkenaan rosak teruk.

Menurut Zakaria, dia yang tiada di rumah tersebut gagal menyelamatkan barang-barang berharga berikutan api marak begitu pantas.

“Setelah pulang ke rumah kira-kira pukul 2 pagi, api didapati begitu marak sekali dan amat sukar menyelamat barang-barang yang berada dalam rumah.

“Bagaimanapun, anak lelaki saya, Mohd. Firdaus, 24, sempat menyelamat diri dan saya sendiri pun tidak mengetahui punca sebenar mengenai kebakaran itu dan kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kebakaran rumahnya paling teruk sekali iaitu 80 peratus manakala rumah jiran lain-lain antara 40 peratus, 20 peratus dan 10 peratus sahaja.

“Yang paling menyedihkan kebakaran itu berlaku menje­lang Hari Raya Aidilfitri pula.

"Saya paling sedih sekali kerana telah membuat pelbagai persiapan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan bila berada dalam keadaan seperti ini amat menyedihkan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Riduan Nut Jamadin berkata, seramai 20 pegawai dan anggotanya bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.53 pagi.