Bapa kepada salah seorang mangsa yang hilang, Abdullah Zawawi Tahir, 58, berkata, mereka masih menaruh harapan kepada pasukan mencari dan menyelamat untuk menemukan anaknya, Zarani Abdullah Zawawi, 37, walaupun hanya tinggal rangka.

Menurutnya, dia akan me­nunggu kepulangan anaknya dengan penuh sabar.

“Selain membuat solat hajat, kami juga meminta bantuan daripada 15 orang bomoh Islam dan kebanyakan mereka mengatakan Zarani masih hidup dan sesat di dalam hutan. Oleh sebab itulah, saya bersama ahli keluarga yang lain turut bersama pasukan mencari dan menyelamat ke hutan tersebut bagi mencari mangsa.

“Namun, kami berharap agar anggota tentera dan PGA dapat membantu kami kerana mereka lebih berkemahiran dan mengetahui tentang selok-belok hutan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Lah di sini hari ini.

Sementara itu, isteri Zarani, Maskah Ab. Kadir, 37, berkata, dia berharap suaminya dapat ditemukan walaupun dalam keadaan tidak lagi bernyawa.

Ujarnya, mereka sekeluarga mahu kepastian mengenai nasib yang menimpa suaminya.

“Sebelum ini saya pernah bermimpi buruk selama tiga hari berturut-turut tentang suami mati di dalam hutan. Saya telah memberitahu mimpi itu kepada suami sebelum dia masuk ke hutan 13 Jun lalu, tetapi dia hanya mendiamkan diri.

“Kami juga masih tidak tahu rangka yang ditemukan oleh pa­sukan penyelamat itu milik suami atau rakannya,” katanya.

Dalam kejadian 13 Jun lalu, Zarani keluar menaiki kereta Proton Iswara bersama seorang penduduk Orang Asli, Sudin Salleh, 30, untuk mencari kayu kemu­ning yang menjadi punca pendapatan mereka.

Kereta dinaiki mangsa itu ditemukan di kawasan hutan Pos Pulat pada petang 29 Jun lalu manakala pada 9 Julai pula, satu rangka yang tersorok di dalam sebuah rekahan batu laluan air telah ditemukan bersama lampu kepala, parang, sarung parang kayu, sepasang kasut getah saiz 37, sepasang stokin, seluar panjang dan baju lengan panjang.