Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP kawasan itu, Teh Yee Cheu berkata, kemusnahan yang dimaksudkan bukan setakat projek-projek di lereng bukit malahan sebahagian Sungai Kelian di situ telah 'dikonkrit'kan oleh pemaju.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, ketika ini terdapat tiga projek pembangunan berhampiran kawasan bukit sedang dijalankan sekali gus dikhuatiri akan memberi impak kepada alam sekitar.

“Selain itu, terdapat 10 projek yang sedang menunggu kelulusan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan yang mana ia melibatkan pembinaan bangunan kediaman setinggi 50 hingga 60 tingkat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melawat tapak bencana tanah runtuh di Jalan Lembah Pantai, di sini hari ini.

Yee Cheu yang sebelum ini se­ring menyuarakan isu alam sekitar berkata, beliau berasa kesal kerana bantahan penduduk serta hasil kajian pakar yang dibentangkan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung ancaman alam sekitar di kawasan tersebut tidak dipedulikan.

Ujarnya, beliau pernah ber­kongsi laporan berhubung risiko projek pembangunan di lereng-lereng bukit di negeri ini terma­suk oleh sekumpulan pakar Universiti Sains Malaysia (USM) dan kajian oleh institusi dari Korea Selatan dan Jepun bersama pakar kejuruteraan awam dari Kuala Lumpur.

“Namun, Kerajaan DAP Pulau Pinang menganggap saya terlalu sensitif dan seolah-olah membe­ritahu perkara itu (kejadian ta­nah runtuh) tidak mungkin berlaku,” katanya.

Berhubung sebahagian Sungai Kelian yang telah dikonkrit, Yee Chue berkata, beliau bersama persatuan penduduk telah me­lakukan bantahan kepada pemaju terlibat.

“Disebabkan bantahan yang kami sua­rakan, pemaju akur dan akhirnya mereka membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk membina landskap, jika tidak ia telah menjadi sungai konkrit,” katanya.

Sementara itu, kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini, adalah bukti kedegilan kerajaan DAP Pulau Pinang yang enggan mende­ngar keluh kesah rakyat berhubung pembangunan tanah tidak terkawal terutamanya di lereng bukit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata musibah itu dapat di­­elak­ kan sekiranya kerajaan negeri mendengar bantahan rakyat yang berulang kali menyuarakan agar projek di kawasan berkenaan dihentikan.

“Adun DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu sendiri membantah, namun kerajaan nege­ri pimpinan Lim Guan Eng tidak mempedulikannya. Sikap sebegini tidak menghairankan kerana Lim sendiri lebih suka memburukkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri terdahulu dalam segala hal berbanding menyelesaikan masalah dihadapinya.

“Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat. Malang bagi kita di Pulau Pinang dapat kerajaan negeri sebegini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan menyifatkan kejadian tanah runtuh itu sebagai yang terburuk dalam sejarah tanah runtuh di Pulau Pinang.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan negeri meluluskan projek berkenaan yang disifatkan merbahaya.

“Masalah ini telah dibangkitkan dalam Forum Pulau Pinang. Yang Berhormat Tanjung Bungah dan Persatuan Penduduk Tanjung Bungah juga bantah projek ini, jadi kenapa mereka berpura-pura tidak mendengar apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau turut mendakwa kerajaan negeri tidak mengikut garis panduan pembinaan bangunan 50 tingkat di lereng bukit itu yang mensyaratkan jarak selamat pembangunan di lereng bukit ialah 200 meter.

Huan turut meminta Suruhanjaya Siasatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang akan diwujudkan, dianggotai bukan hanya wakil kerajaan negeri malah pelbagai pihak termasuk wakil kerajaan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, keselamatan, alam sekitar dan sebagainya.