Mohd. Saiful Izam Suhaidin, 32, berkata, dia dan isterinya, Suriani Arifin, 36, dalam perjalanan pulang ke Kampung Pangkal Meleret, Machang dan ternampak kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori.

"Semasa menghampiri lokasi kemalangan, saya lihat banyak kereta dari arah bertentangan memberikan isyarat lampu.

"Masa itu saya syak mesti ada kemalangan dan semasa melalui kawasan tersebut, saya lihat sebuah kereta dengan nombor pendaftaran kenderaan milik abang saya berada di tepi jalan," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Gerik di sini hari ini.

Selain abangnya, kemalangan tersebut turut meragut nyawa kakak ipar serta anak saudaranya.

Mohd. Saiful Izam berkata, dia segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan pergi ke kawasan kemalangan itu untuk memeriksa kejadian yang menimpa keluarga abangnya itu.

Katanya, apabila mengetahui keluarga abangnya sememangnya terlibat dalam kemalangan tersebut, dia sangat terkejut dan sedih kerana hubungan mereka adik beradik memang rapat.

"Kami adik beradik kelmarin berada di Bukit Bertam, Selama menghadiri majlis perkahwinan sepupu dan hari ini pulang semula ke Machang.

"Pagi tadi selepas bersarapan kami pulang berasingan kerana angah mahu beraya rumah bapa saudara di Kuala Kangsar. Saya betul-betul tidak sangka langsung perkara ini boleh berlaku," katanya.

Menurutnya, Nur Hanania yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh akan ditemani oleh adik perempuannya.

"Mayat abang, kakak ipar dan anak mereka akan dibawa balik dan dikebumikan di Kampung Pangkal Meleret, Machang esok," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang, Mohd. Nizam Suhaidin, 34, dan isteri, Noor Hafizah Ismail, 34, serta anak mereka, Muhammad Afiq berusia enam tahun maut.

Turut terkorban dalam kemalangan membabitkan lori balak dan Proton Saga BLM ialah pemandu lori, Redzuan Abd Ghani, 57, manakala bayi pasangan berkenaan, Nur Hanania Maisarah berusia dua tahun parah. - UTUSAN ONLINE