Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd. Rozi Jidin berkata, kejadian itu berlaku ketika lelaki berusia 23 tahun berkenaan berada di kaunter daftar masuk beg untuk menaiki kapal terbang ke Subang pada kira-kira pukul 7.50 malam semalam.

"Pada masa yang sama, terdapat juga seorang penumpang  sedang mendaftar  masuk bagasi di kaunter bersebelahan. 

"Lelaki Turki tersebut meminta untuk menumpang timbangan bagasi penumpang itu tetapi ditolak lalu lelaki tersebut berkata dalam bagasinya ada bom.

"Penumpang itu meminta petugas di kaunter berkenaan bertanya semula kepada lelaki itu dan dia sekali lagi memberitahu, Sudah tentu kerana ada bom dalam bagasi saya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, pemeriksaan pihaknya kemudiannya mendapati tiada objek mencurigakan ditemukan di kawasan LTSAH berkenaan dan ancaman itu disahkan palsu.

Dalam pada itu menurut Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohd. Naim Mat Jaaffar, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.11 malam dan bergegas ke lokasi.

"Hasil pemeriksaan lanjut di seluruh kawasan lapangan terbang berkenaan mendapati tiada sebarang ancaman bom seperti didakwa," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, operasi yang turut disertai  anggota Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim itu tamat pada pukul 12.10 tengah malam. - UTUSAN ONLINE