Hanya itu yang termampu dilakukan oleh Wan Muhammad Hazim Wan Muhamad Fauzi, 19, untuk menenangkan perasaannya di pagi Syawal selepas kesemua ahli keluar­ganya maut dalam nahas ngeri di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sem­bilan 11 Jun lalu.

Malah sehingga kini, dia ma­sih tidak dapat menerima kenyataan dan setiap hari anak kedua daripada lima beradik itu tidak putus-putus mena­ngis mengingati detik indah bersama keluarga terutama ketika menyambut hari raya.

Katanya, setiap kali hari raya, mereka sekeluarga akan meraikan sambutan lebaran itu di Kelantan dan detik indah tersebut sentiasa bermain di fikirannya pada saat ini.

“Hari raya kali ini tiada apa lagi. Saya hanya mampu berdoa untuk ibu, ayah dan adik beradik saya yang telah pergi. Yang tinggal hanya kubur me­reka.

“Saya cukup rindu masakan ibu, karenah adik-adik. Kini mereka sudah tiada. Saya akan cuba kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan sele­pas ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jelawat di sini baru-baru ini.

Wan Muhammad Hazim berkata, sukar membayangkan situasinya pada masa ini apabila dalam sekelip mata dia hidup sebatang kara dan tiada lagi belaian kasih sayang daripada keluarga.

Katanya, dia akan meng­ha­biskan masa beraya di kampung selama lima hari sebelum kembali pulang ke Putrajaya bagi menyelesaikan sedikit urusan.

“Mungkin pada Ogos, saya akan balik menetap di kampung dan berkemungkinan menyambung pelajaran atau menjalankan perniagaan sendiri.

“Sebelum ini, ayah ada menyuruh saya menyambung pe­ngajian meskipun menga­kui sudah tidak berminat. Saya akan cuba merealisasikan hasrat ayah itu selepas berbincang dengan adik beradik arwah yang lain,” katanya yang kini menjalankan perniagaan di atas talian.

Enam ahli keluarga Wan Muhammad Hazim yang terlibat dalam nahas itu ialah bapanya, Wan Muhamad. Fauzi Wan Ibrahim,51, dan ibunya Masnoraida M. Yusoof,45; serta adik-beradiknya Wan Muhammad Muhaimin, 22; Wan Norathirah, 18, Wan Muhammad Amar Haziq, 13, dan Wan Noralesya, 7.