Menurut Ridzuan Om, 49, dia sedang berada di perkarangan rumah bersama rakan-rakan kira-kira pukul 9 malam apabila angin tiba-tiba bertiup kencang.

Katanya, dia lalu melaungkan azan dan angin itu reda seketika tetapi datang semula dengan lebih kuat sehingga menerbangkan bumbung rumahnya.

“Kami melarikan diri ke rumah abang yang terletak bersebelahan dan melihat di depan mata, bumbung tercabut satu persatu,” katanya yang bekerja sendiri ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Isterinya yang merupakan suri rumah berkata, dia sedang memasak apabila secara tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga menakutkan mereka sekeluarga.

“Saya berhenti memasak dan mengarahkan kesemua anak berusia enam sehingga 25 tahun beserta dua orang cucu keluar rumah,” katanya yang memberitahu, kesemua perabot dan barangan elektrik rosak dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (APBN) Perlis dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 92 buah rumah terjejas akibat kejadian ribut di seluruh negeri ini.

Menurut Jabatan Pendidikan negeri pula, sebanyak 38 buah sekolah iaitu 24 buah sekolah menengah dan bakinya sekolah rendah, turut mengalami kerosakan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri turut memaklumkan, kawasan Bintong paling teruk terjejas dengan sebanyak 37 buah rumah mengalami kerosakan diikuti Kuala Perlis dan Indera Kayangan dengan masing-masing sembilan buah rumah. - UTUSAN ONLINE