Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, beliau menganggap jumlah kes tersebut merupakan satu angka yang besar walaupun tidak dapat memberikan statistik secara terperinci.

“Berbanding dengan kes kebakaran, kejadian itu cuma dilaporkan lebih daripada 100 kes setahun, tetapi kes lemas ini melibatkan jumlah yang jauh lebih banyak.

“Pihak kami akan sentiasa memantau jumlah kes kebakaran tetapi bagi kes lemas kita memerlukan kerjasama semua pihak.

“Kes lemas memang agak rumit kerana melibatkan kawasan yang luas dan sebagai contoh, tragedi itu boleh berlaku di sepanjang sungai, menjadikan tugasan memantau perkara itu daripada berlaku semakin sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Peng­anugerahan Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Per­khid­matan Terpuji 2017 JBPM negeri Melaka di Gold Coast International Resort di sini hari ini.

Baru-baru ini, berlakunya beberapa tragedi lemas di negeri-negeri berlainan sehingga melibatkan mangsa maut sempena musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Semalam, Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jabatan Keselamatan Aktiviti Air dalam usaha menangani kes-kes kematian akibat lemas.

Katanya, langkah sedemikian amat penting berikutan kes kematian akibat lemas kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan dikhuatiri bakal menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Wan Mohd. Nor memberitahu, pihaknya sentiasa memberi maklum balas terhadap panggilan menyelamat serta mencari mangsa yang lemas kerana itu sudah menjadi sebahagian daripada tugas mereka.

“Apa yang kita boleh buat adalah memasang tanda amaran yang boleh menarik perhatian orang ramai di kawasan berkenaan yang dianggap berbahaya supaya mereka mengelakkan daripada ke lokasi tersebut.

“Selain itu, kita boleh mengumpul maklumat dan statistik berhubung kematian berkaitan kes lemas dan menyampaikan nasihat melalui media cetak dan elektro­nik kepada orang ramai,” katanya.