Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, langkah tersebut dilihat bersesuaian bagi membantu mangsa banjir mendapatkan makanan berkhasiat dalam tempoh segera.

Katanya, antara keperluan tersebut adalah seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan sekali gus menangkis stigma dalam kalangan masyarakat sebelum ini kononnya pusat pemindahan hanya menyediakan menu sardin atau telur.

“Kita melantik pembekal daripada penduduk tempatan bagi memudahkan penghantaran bekalan sampai ke pusat pemindahan.

“JKM sendiri mula belajar daripada pengalaman ketika menguruskan mangsa banjir sebelum ini. Hasilnya dari semasa ke semasa kita dapat menyediakan sesuatu yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE