Dalam kejadian itu, mangsa, Alam Shah Mohd. Aripin, 41, dan isterinya, Suzi Khamis, 31, berserta tiga anak mereka keluar ke pasar untuk membeli keperluan harian, manakala seorang lagi anak pasangan itu berada di rumah.


Walau bagaimanapun, anak kedua mereka berusia sembilan tahun itu sempat diselamatkan adik ipar Alam Shah yang tinggal bersebelahan sebelum dia bergegas pulang sebaik dimaklumkan kebakaran terbabit.


“Kebakaran menyebabkan kami sekeluarga kerugian kira-kira RM30,000 termasuk rumah kami terbakar hampir 95 peratus yang turut memusnahkan barangan elektrik di dalam rumah, sebuah motosikal, duit simpanan serta dokumen-dokumen penting.


“Namun saya bersyukur insiden ini tidak melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa, cuma sewaktu perjalanan pulang fikiran asyik terganggu mengingatkan anak di rumah sebelum kami melihat dia selamat,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 pagi sebelum tiba 19 minit kemudian.


“Siasatan awal mendapati kebakaran ini bermula daripada bahagian belakang kediaman tetapi punca sebenar masih dalam siasatan pasukan forensik. Api marak begitu cepat sehingga mengakibatkan rumah binaan kayu ini musnah sepenuhnya dalam masa singkat,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE