Di TAWAU, seorang wanita berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan mengakibatkan kematian empat lelaki berhampiran sebuah rumah kedai di Pusat Komersial BDC di sini hari ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, wanita tersebut dipercayai memandu dalam keadaan dipe­ngaruhi alkohol sehingga gagal mengawal kereta Toyota Vios dipandunya lalu terbabas dan me­rempuh orang awam.

Menurut Fadil, dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, empat mangsa yang dirempuh maut serta-merta manakala seorang lagi wanita cedera parah.

Kesemua yang maut adalah Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16, dan Chong Wei Chan, 21, manakala mangsa yang cedera ialah Chin Quan Xiong, 21.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa suspek yang memandu Toyota Vios dari arah bandar Tawau menuju ke Jalan Tiku hilang kawalan apabila sampai di Jalan Chong Thien Vun lalu menyebabkan kenderaannya terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh tiga lagi kenderaan serta beberapa mang­sa,” katanya dalam satu kenya­taan di sini.

Di KUANTAN, Dua lelaki yang sedang memancing di atas Jambatan Sungai Endau maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 159.5, Jalan Kuantan-Johor Bahru hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.35 pagi itu, Mohd. Fadhlan Mohd. Shahidi, 32, yang berasal dari Pekan dan Mohd. Misran Mohd. Daim, 44, dari Mersing, Johor meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 30 tahun itu yang menghala ke Endau dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar dua pemancing di bahu jalan,” katanya di sini.

Menurut Azli, pemandu kenderaan pacuan empat roda ber­kenaan ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk siasatan lanjut manakala mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan raya adalah dua lorong, dua hala dan jalan gelap tidak berlampu.

“Keadaan cuaca semasa kejadian adalah baik dan permukaan jalan kering. Terdapat garisan berkembar di tengah-tengah jalan sebagai pembahagi jalan,” katanya.