Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu bukan sahaja memusnahkan segala persiapan penghuni rumah berkenaan untuk menyam­but hari lebaran tersebut, malah turut menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Seorang mangsa, Kamariah Che Ngah, 56, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan suami Hazmah Awang, 76, nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising jiran-jiran yang memaklumkan tentang kebakaran itu.

“Sebaik sahaja tersedar, saya dapati api sudah marak dan semua barang yang ada di dalam rumah termasuk persiapan hari raya gagal diselamatkan.

“Saya hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa kerana api marak dengan begitu cepat. Bagaimanapun saya lega apabila suami yang mengalami masalah penglihatan berjaya diselamatkan hasil bantuan jiran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Seorang lagi mangsa, Sapiah Che Hassan, 79, memberitahu, dia hanya sempat menyelamatkan dompet kecil miliknya yang mengandungi dokumen penting kerana api marak terlalu cepat.

Katanya, dia tinggal sehelai sepinggang selepas semua barang miliknya hangus dalam kejadian tersebut.

“Saya menerima apa yang berlaku ini dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd. Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.59 pagi dan seramai 29 anggota dari Balai Rantau Panjang dan Pasir Mas bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.

“Semasa sampai di lokasi, rumah tersebut sudah hangus 75 peratus. Api berjaya dikawal sepenuhnya daripada merebak ke kawasan berhampiran pada pukul 5.57 pagi,” katanya.

“Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan lapan buah rumah berhampiran kawasan kejadian daripada musnah,” katanya.

Mohd. Adni memberitahu, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.20 pagi.