Pentadbir Mukim DUN Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab. Ghani berkata, antara kampung terlibat adalah Kampung Kubang Keranji, Kampung Likong, Kampung Tini, Kampung Padang Enggang, Kampung Jaya dan Kampung Kubang Kacang.

Menurutnya, projek pembangunan tidak tersusun selain perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menjadi antara punca air mudah bertakung dan tidak mengalir dengan baik.

“Kita harap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan drastik bagi memastikan kawasan terbabit tidak lagi diancam situasi tersebut.

“Keadaan ini akan memberi kesan kesihatan yang tidak baik kepada masyarakat kerana takungan air itu boleh membawa penyakit berjangkit seperti denggi,” katanya ketika meninjau kawasan terbabit, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk terbabit, Nik Rosli Nik Man, 47, memberitahu, masalah tersebut berlaku ekoran saliran perparitan yang tertimbus sejak sekian lama tetapi tidak diselenggara oleh pihak berkuasa.

“Ini menyebabkan aliran air tersekat. Jika hujan lebat berterusan air mula memenuh dan melimpah ke seluruh kawasan rumah,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Wan Nordin Wan Mahmood, 56,  berkata, situasi banjir termenung menjadi masalah utama penduduk setiap kali berlaku hujan lebat dan tibanya musim tengkujuh.

“Mana tidaknya, semua kawasan yang dilanda banjir telah pulih, namun kawasan kita masih lagi digenangi air.

“Lebih merumitkan lagi apabila masalah ini bukan sahaja akan berlaku waktu musim tengkujuh, tetapi setiap kali berlakunya hujan lebat,” katanya. - UTUSAN ONLINE