Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77, gagal ditemukan sehingga kini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, tiada pengesahan sama ada mangsa terperangkap atau sebaliknya.

“Malah, keadaan arus sungai yang agak deras menyukarkan usaha pihak kita bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan pihak pengurusan feri dalam operasi SAR,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia sebentar tadi.

Menjelas lanjut, beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk menyeberangi sungai Batang Samarahan menggunakan feri.

“Ketika dalam feri, kenderaan mangsa tiba-tiba bergerak ke hadapan sebelum terjunam ke dalam sungai,”ujarnya.-UTUSAN ONLINE