Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, bagi daerah Mersing, kawasan terjejas masih melibatkan Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung Air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Di Kota Tinggi pula, kawasan terjejas masih melibatkan Kampung Bukit Raja dan Kampung Sungai Buntu.

“Tujuh PPS dibuka di Mersing yang menempatkan 393 orang melibatkan 105 keluarga iaitu Balai Raya Taman Nakhoda, Sekolah Kebangsaan Air Papan, Sekolah Kebangsaan Tenglu, Balai Raya Serbaguna Kampung Benaung, Pertubuhan Peladang Kawasan Endau, Sekolah Agama Pengkalan Batu dan Balai Raya Kampung Air Merah,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata, dua PPS yang dibuka di Kota Tinggi iaitu Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia dan Surau Sungai Buntu pula menempatkan 33 orang melibatkan lapan keluarga.

Buat masa ini, pemantauan banjir berterusan pelbagai agensi sedang dilakukan di kedua-dua daerah termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Menurut Jabatan Meteorologi, setakat 5.35 pagi tadi, amaran buruk dikeluarkan bagi daerah Mersing yang menjangkakan hujan lebat berserta angin kencang manakala amaran waspada dikeluarkan bagi daerah Kota Tinggi, Segamat dan Kluang untuk hari ini. - BERNAMA