Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Mohd. Sari Muda, 52; isteri, Mizah Mamat, 52, dan anak perem­puannya, Saerah, 18, serta anak saudara mereka, Nur Adibah Ramli, 19, mening­gal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah

Pemandu bas persiaran, Abdul Jalil Awang, 56, dan 30 penumpang yang terdiri daripada murid dan guru pengiring Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Baging, Cherating, Kuantan, Pahang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Sari dan tiga ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Jerung Surau di sini selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kerteh, Kemaman.

Beliau berkata, bas persiaran yang membawa rombongan murid sekolah rendah terbabit pula dalam perjalanan pulang dari Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Cendering, Kuala Te­reng­ga­nu.

Sementara itu, Abdul Jalil mendakwa kereta yang dinaiki keempat-empat mang­sa dilihat meluncur laju sebelum terbabas ke laluan bertentangan pada jarak kira-kira 500 meter dari kende­raannya.

“Dua buah kereta di hadapan berjaya mengelak kereta tersebut. Saya juga cuba mengelak dengan memasuki laluan bersebelahan.

“Kereta itu tiba-tiba memasuki laluannya sebelum merempuh hadapan bas yang saya pandu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian,” ujarnya.