Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi itu, empat kenderaan yang terlibat adalah sebuah van jenis Nissan yang musnah sepenuhnya, van jenis van Toyota 50 peratus, Proton Iswara lebih 10 peratus dan Perodua Myvi milik seorang pelanggan terbakar kira-kira 20 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.59 pagi, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian, anggota mendapati api sedang marak dan memusnahkan beberapa buah kenderaan yang berada di dalam garaj berdekatan bengkel kereta tersebut.

"Anggota kita kemudiannya bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran air daripada pili bomba. Masa diambil untuk memadamkan api kira-kira 20 minit dan kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bengkel kereta tersebut ," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Azmel, operasi pemadam tamat sepenuhnya kira-kira pukul 11.58 pagi dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan nilai kerugian akibat kebakaran tersebut. - UTUSAN ONLINE