Kebakaran berlaku kira-kira pukul 1.45 pagi yang memusnahkan sama sekali empat rumah kedai yang menjual peralatan barangan logam serta sebuah koperasi pekerja di situ.

Menurut saksi yang enggan dikenali, api bermula dari kedai menjual peralatan logam yang di hujung ba­ngunan tersebut sebelum terdengar letupan di belakang premis tersebut yang disusuli kepulan asap.

Api semakin marak di sebabkan terdapat barangan mudah terbakar di premis tersebut selain tingkat atas rumah kedai itu sudah uzur dan diperbuat daripada kayu.

Orang ramai yang menyedari kejadian tersebut cuba memadamkan kebakaran namun gagal kerana api terlalu besar dan mula menyambar ke premis bersebelahan.

Saksi itu berkata, ketika kejadian, beberapa pemilik premis sedang nyenyak tidur menyebabkan orang ramai bertindak mengejutkan penghuni dengan terpaksa memecahkan pintu kediaman untuk menyelamatkan mereka.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Pegawai Kanan 2 Hassamudin Yusof berkata, sebuah jentera bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pukul 2 pagi.

Katanya, sejurus tiba di tempat kejadian, kebakaran itu telah memusnahkan sebuah kedai menjual peralatan logam dan sebelum me­rebak ke premis bersebelahan termasuk pejabat koperasi pekerja.

Seorang pemilik premis menjual peralatan logam, Mohd. Rais Talib, 50, ketika kejadian dia dan keluarganya tiada di premis tersebut kerana berada di kampung di Setiu sebelum menerima panggilan telefon daripada rakannya pukul 3 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Sebaik saya sampai di sini pukul 5 pagi, kedai saya musnah sama sekali. Usaha saya dan keluarga selama beberapa tahun ini hilang sekelip mata, namun saya reda atas apa yang berlaku,” katanya.