Difahamkan, ketika kejadian, trak tentera tersebut membawa 11 penumpang termasuk pemandu, namun hanya empat mengalami kecederaan ringan.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu turut mengakibatkan trak berkenaan terbabas ke bahu jalan dan mangsa yang cedera ringan mengalami luka di beberapa bahagian badan termasuk kepala serta pinggang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila trak tentera yang berada di lorong tengah hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di lorong kanan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan dan melanggar penghadang jalan.

“Empat anggota tentera mengalami hentakan kuat dan menyebabkan mereka cedera di bahagian kepala dan pinggang. Bagaimanapun, pemandu kereta Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua anggota yang cedera dihantar ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun tiada kecederaan serius yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Baharudin, sehingga pukul 5 petang ini, pihaknya difahamkan tiga anggota dirawat di Zon Merah HSA manakala seorang lagi dihantar ke Zon Kuning Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Dalam pada itu, jelasnya, kemalangan tersebut juga menyebabkan dua buah lori satu tan turut berlanggar sesama sendiri gara-gara pemandu salah sebuah lori berhenti untuk melihat insiden menimpa anggota tentera berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berhubung kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Habis...