Anak kelahiran Kampung Haji Abdullah Hukum, Kuala Lumpur itu memberitahu, pada awal penubuhan RIM, beliau bersama lima rakan yang lain terpaksa bekerja 24 jam sehari mengikut syif.
Katanya, tugas itu perlu dilakukan secara bergilir-gilir bagi memastikan objektif penubuhan unit berkenaan benar-benar berkesan.

“Sebelum penubuhan unit ini, faktor kesesakan lalu lintas seringkali menjadi punca kelewatan kami ke lokasi kejadian.

“Atas faktor inilah, RIM telah diperkenalkan bagi menjalankan tugas-tugas menyelamat dengan pantas berbanding jentera penyelamat yang lain. Terbukti RIM mampu bergerak dengan mudah dan cepat tanpa menghadapi masalah kesesakan jalan raya ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kamaruddin memberitahu, anggota RIM bukan sahaja perlu memiliki kemahiran mengendalikan motosikal berkuasa tinggi serta peralatan yang dibekalkan, malah mereka juga mampu memberi bantuan kecemasan seperti memadam kebakaran peringkat awal dan bantuan kemalangan jalan raya.

Tambahnya, dalam sesuatu operasi, ketiga-tiga buah motosikal ini akan bergerak pada masa yang sama di mana masing-masing mempunyai spesifikasi tugas yang berlainan.

“Setibanya mereka ke tempat kejadian, anggota-anggota ini akan membuat ‘size up’ iaitu pengumpulan maklumat seperti saiz kejadian, jenis kejadian, bangunan terlibat, bahan terlibat dan mangsa terlibat jika ada.

“Dengan adanya maklumat awal ini, bilik kawalan akan dapat membuat keputusan sama ada untuk meminta khidmat bantuan jentera dari balai-balai lain dan jenis jentera yang terlibat,” ujarnya.

Untuk rekod, idea mencetuskan unit RIM juga telah mengharumkan nama pasukan bomba apabila memenangi Anugerah Persatuan Komanwel mengenai Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 1999-2000 di Cape Town, Afrika Selatan.

Sementara itu, menceritakan tentang pembabitan beliau di dalam pasukan bomba, Kamaruddin memberitahu, beliau mula berkhidmat di Jabatan Bomba dan Penyelamat pada tahun 1980 ketika umurnya 20 tahun.

“Saya menerima latihan asas di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah selama tujuh bulan.

“Selepas tamat latihan, saya di tugaskan di Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan kemudian ditukarkan ke Balai Bomba dan Penyelamat Pusat, Jalan Hang Tuah,” ujarnya.
Kemudian, beliau bertukar Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Klang Lama sebelum bertukar ke Cheras.

Pada tahun 2013, Kamaruddin kembali berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Pantai sehingga kini.

“Saya sudah 35 tahun berkhidmat tetapi jiwa saya masih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja menyelamat,”katanya.

Keluarga jadi pendorong

SOKONGAN tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh isteri Pegawai Bomba Kanan 1, Kamaruddin Mohd. Ani iaitu Jamaliah Baba, 53, sejak awal perkahwinan menyebabkan segala tekanan kerja dapat diatasi dengan mudah.

Malah, tanpa berselindung Kamaruddin menyatakan rasa bersyukur kerana mendapat jodoh yang amat memahami dirinya yang bertugas sebagai anggota bomba.

Beliau memberitahu, biarpun perlu menjalankan tugas di luar negara mahupun perlu bekerja 24 jam sehari namun isterinya sentiasa memberi semangat dan sokongan walaupun terpaksa berjauhan.

“Kami kini telah dikurniakan dua pasang cahaya mata yang kini berumur antara 30 hingga 20 tahun serta kini mempunyai seorang cucu.

“Saya telah berkhidmat dengan jabatan bomba selama 35 tahun dan akan pencen tidak lama lagi. Tanpa sokongan isteri dan anak-anak tidak mungkin saya akan dapat berkhidmat selama itu,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Pantai baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kamaruddin juga turut berkongsi pengalaman sepanjang beliau berkhidmat dengan jabatan bomba.

Lebih menarik, boleh dikatakan hampir semua kemalangan mahupun kejadian di Lembah Klang yang menggemparkan negara sejak tahun 1980-an hingga sekarang membabitkan dirinya.

Antara pengalaman yang paling diingati ketika bertugas mencari mangsa runtuhan kondominium Highland Tower di Bukit Antarabangsa dan kemalangan bas di Genting Sempah yang meragut banyak nyawa.

Namun, Kamaruddin dengan rendah diri menyifatkan semua itu merupakan pengalaman hidup yang sukar untuk dilupakan selagi nyawa dikandung badan.

“Saya merasakan jiwa bomba yang menebal di dalam hati ini menyebabkan sebarang tugasan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.