Dua pusat berkenaan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang di Langkawi menempatkan enam keluarga mangsa banjir sementara 29 keluarga mangsa ribut ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Teriang.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Nalzatul Ashikin Nordin, pusat pemindahan banjir tersebut dibuka kira-kira pukul 1.30 petang tadi menempatkan enam keluarga.

“Enam keluarga tersebut merupakan mereka yang tinggal di Kampung Bohor Masjid di Kedawang, Langkawi. Dianggarkan terdapat kira-kira 30 mangsa dipindahkan ke pusat berkenaan namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nalzatul Ashikin berkata, kejadian banjir dengan kedalaman yang hampir mencecah satu meter itu berlaku ekoran hujan lebat selama sejam bermula pukul 5 pagi hingga menyebabkan limpahan air dari Sungai Chenang, Langkawi.

“Selain Kampung Bohor Masjid, kejadian banjir juga turut berlaku Kampung Teluk Yu, Ayer Hangat membabitkan enam rumah disebabkan hujan lebat selama sejam yang mengakibatkan limpahan Sungai Telok Yu.

“Namun tiada pusat pemindahan banjir dibuka di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nalzatul Ashikin memberitahu, pusat pemindahan turut di SK Teriang dibuka bagi menempatkan mangsa akibat kejadian ribut, awal pagi ini.

“Setakat ini sebanyak 29 keluarga telah berpindah ke pusat berkenaan yang dibuka pada pukul 1.30 petang tadi. Bagaimanapun jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan masih belum diketahui,” katanya. - UTUSAN ONLINE