Pengalaman itu dilalui seorang lelaki selepas diserang seekor buaya sebelum ditarik ke dalam sungai dalam kejadian di Kampung Kurnia, Batu 3 di sini, Jumaat lalu.

Kejadian pada pukul 4 pagi itu menyebabkan mangsa, Hamid Mohd. Ismail, 42, yang menetap di Rumah Kedai, Kuala Pahang, Pekan, dekat sini cedera di kepala akibat digigit buaya berkenaan.

Mangsa berasal dari Pulau Pinang berlumuran darah akibat digigit di kepala dan badan me­minta bantuan orang awam untuk dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhi­litan) negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, mangsa masih tidak sedarkan diri akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Mangsa selamat menjalani pembedahan hari ini dan sudah dipindahkan ke wad biasa di hospital sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Ahmad Azhar, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut selepas mangsa sedar daripada menjalani pembedahan.

“Perhilitan sedang menjalankan pemantauan dan rondaan selama tiga hari berturut-turut di beberapa lokasi tumpuan haiwan berkenaan serta kawasan yang dikenal pasti bagi mengesan kedudukannya.

“Kita akan menguruskan kebajikan mangsa dan melancarkan tabung bantuan serangan binatang buas memandangkan mangsa tidak mempunyai waris di Pahang,” jelasnya sambil memberitahu Perhilitan telah menghubungi adik mangsa di Pulau Pinang bagi memaklumkan kejadian tersebut.