Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, Sarjan Mohd. Nor Arifen Mohd Taib, 35, cedera di kaki kanan; Koperal Mohd. Nailili Nasarudin, 30, ce­de­ra ringan di pinggang manakala Koperal Mohd. Fadli Che Hashim, 30, ce­dera di tangan kiri.

Difahamkan, kesemua mangsa yang bertugas di 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong terlibat dalam operasi bersama Jabatan Perhutanan Bentong dan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan di Kem Kechau.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, enam lagi anggota tentera termasuk seorang pegawai tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati pemandu trak cuba mengelak seekor kerbau yang melintas jalan sebelum kenderaan itu terbabas dan terbalik.

“Trak itu kemudian terjatuh ke gaung sedalam lima meter sebelum anggota tentera terlibat keluar daripada kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azry Akmar, tiga anggota tentera yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Kuala Lipis dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis untuk rawatan.

Katanya, siasatan men­dapati ketika kejadian keadaan cuaca hujan renyai-renyai dan jalan basah serta laluan tidak mempunyai lampu jalan.

“Siasatan dibuat mengikut Peraturan 10 Peraturan-peraturan Lalu Lintas 166/59,” katanya.