Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Punan ditutup bermula pagi semalam.

“Penutupan terpaksa dilakukan setelah 11 guru tidak dapat masuk ke SK Punan kerana laluan masuk ke sekolah tersebut dinaiki air dan guru-guru terkandas di jalan ladang.

“Semua guru terbabit mendaftar di SK Kahang manakala murid-muridnya dimaklumkan melalui panggilan telefon yang dibuat Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah

itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau dimaklumkan oleh pembantu operasi sekolah itu yang juga penduduk tempatan di Kampung Punan, air sungai sudah melimpah dan naik ke atas jalan raya di kampung tersebut manakala kedudukan SK Punan pula kira-kira 200 meter dari sungai berkenaan.

Sementara di SK Ladang Mutiara, Ayub berkata, laluan dari Jalan Tereh dan Jalan Selai untuk ke sekolah itu sudah terputus hubungan sejak pukul 6 pagi ini selepas dinaiki air sekali gus menyebabkan tiga guru dan dua anggota kumpulan pelaksana terkandas.

“Dimaklumkan oleh guru besar jalan kedua ke sekolah itu melalui Batu 26, Jalan Peta juga sudah ada dua tiga tempat dinaiki air. Sekolah masih beroperasi dan 17 guru berada di sekolah itu yang mana tujuh guru tinggal di kuarters sekolah.

“Berkemungkinan besar jika jalan masih terputus di kedua-dua jalan masuk ke sekolah ini, maka guru yang tidak tinggal di kuarters guru akan menginap sementara di kuarters yang ada

serta rumah pekerja ladang,” katanya.

Katanya, jalan ladang ke SK Seri Sedohok juga terputus mulai pukul 6 pagi tadi menyebabkan lapan guru dan lima anggota kumpulan pelaksana melaporkan diri di SK Abd. Rahman Yassin.

Bagaimanapun katanya, SK itu tetap beroperasi seperti biasa dengan dua warden serta tiga guru dan mereka melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) seperti biasa.

“Tiga guru tersebut menggunakan motosikal dengan melalui laluan kecil di ladang untuk ke sekolah bagi memastikan sekolah beroperasi seperti biasa,” katanya. - UTUSAN ONLINE