Mangsa yang maut dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu ialah bekas jurutera Malaysia Airlines System (MAS), Sairul­azuwan Nadzim, 37, dan isterinya, Azilina Abdul Aziz, 37, serta Muhamad Daris Iffat.

Kemalangan itu menyebabkan tiga lagi anak pasangan berkenaan iaitu Muhammad Danis Wafiy, 10, Muhammad Danis Rayyan, 9, dan Muhammad Danis Amsyar, 5, yang ditinggalkan di rumah ibu Sairulazuwan sempena cuti sekolah yatim piatu sekelip mata.

Menurut ibu Azilina, Che Ma Mohd. Zain , 71, anak perempuannya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Klang, Selangor pulang ke kampung pada Jumaat lalu untuk menghantar tiga anak­nya tinggal di rumah mentua­nya di Batu 9, Lekir di sini.

Katanya, selepas menghantar anak-anaknya, tiga beranak tersebut bertolak pulang ke rumah mereka di Sungai Buloh Selangor awal pagi ini.

“Kali terakhir saya jumpa Azilina pagi semalam sebelum dia pergi ke rumah bapa mentua­nya sebab hendak hantar tiga anaknya. Dia sempat bersalam dan meminta maaf.

“Dia kelihatan sangat rapat dan manja dengan anak-anaknya lebih daripada biasa sehingga selalu menyuap makanan, bermain dan bergurau dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini hari ini.

Mengenai penjagaan tiga anak pasangan itu, Che Ma memberitahu, ahli keluarganya belum membuat keputusan.

Tambahnya, jenazah tiga beranak itu dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 9, Lekir dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dari arah Batu 9 Lekir menghala ke Teluk Intan.

“Kereta yang dipandu mangsa dipercayai cuba mengelak kon yang diletakkan di laluan dalam pembinaan lalu terbabas dan terbalik ke dalam parit berair sedalam 2.5 meter di sebelah kanan jalan.

“Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.