Pelajar Prauniversiti sekolah tersebut, Ahmad Amirul Razali, Amir Amjad Zuhar dan Che Muhammad Syafiq Che Suriadi me­ninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta Proton Iswara kira-kira pukul 1.25 pagi.

Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Idzzat Haiqal Mohd. Ridzuan cedera parah kerana kepala terkoyak dan lengan kanannya patah kini dirawat di Hospital Tengku Anis di sini. Mereka berusia 19 tahun.

Bapa kepada Che Muhammad Syafiq, Che Suriadi Che Hashim, 49, berkata, anak sulungnya bersama tiga rakannya memberitahu mereka ke sekolah tersebut untuk membuat persiapan terakhir sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri pada pukul 9.30 malam.

Bagaimanapun katanya, ke­se­­mua mereka telah pulang ke rumah kira-kira pukul 11 malam sebelum keluar semula untuk minum di kedai berhampiran de­ngan menaiki kereta yang sama.

“Anak saya ketua tingkatan dan juga anggota Exco Majlis Pelajar Prauniversiti sekolah ini. Dia bercita-cita untuk menjadi pendidik dengan menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya reda dengan ketentuan ini dan menghadapinya dengan tabah walaupun kehilangan anak tersayang yang menjadi harapan kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Selising, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Ahmad Ami­rul dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertenta­ngan.

“Ekoran itu, berlaku pertembungan dengan kereta jenis Proton Pesona yang dipandu oleh Muhammad Norsalam Mohd. Salleh, 19. Ketiga-tiga mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Muhammad Norsalam turut mengalami kecederaan manakala ibunya, W. Zanariah W. Mohd. Mahayidin patah lengan dan kaki kiri. Dalam pada itu, kakaknya, Siti Noor Hanif Farhani, 23, dan adiknya, Nurizah Nabihah, 15, tidak me­ngalami kecederaan.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari Kompleks Polis Diraja Malaysia, Kuala Berang, Terengganu ke Kota Bharu.