Mereka yang meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu ialah Muhd. Farid Rozi,18; Putra Izzad Iskandar Zulkifli,18, dan Muhammad Ikram Fais Mohd. Faisal,18.

Kesemua mangsa yang ma­sing-masing berasal dari Kota Bharu, Melaka dan Terengganu itu merupakan rakan sekelas dan mengambil jurusan Diploma Akuakultur semester pertama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut.

Menceritakan detik cemas ketika kejadian tersebut, rakan mangsa, Nurul Syahindah Norazman,18, berkata, ketika mereka sedang mencari bahan kajian di kawasan tersebut, dia terdengar jeritan rakan mereka.

Katanya, pada masa itu, dia sempat melihat seorang rakannya yang berada di atas batu di air terjun tersebut sedang menghulurkan sebatang ranting kayu untuk menyelamatkan salah seorang mangsa.

“Bagaimanapun mangsa tidak sempat berpaut pada ranting itu sebelum dilihat tenggelam. Lokasi pelajar lelaki tersebut mandi dengan kawasan saya dan rakan-rakan perempuan lain mencari bahan kajian hanya kira-kira lima meter,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi rakan mangsa, Mohd. Danish Mirza Sulaiman,18, berkata, ke­semua pelajar lelaki mandi di kawasan air terjun tersebut manakala perempuan duduk di atas batu dan beberapa yang lain mencari bahan kajian.

Mohd. Danish berkata, ketika sedang mandi, Muhamad Farid dan Putra Izzad tiba-tiba terjerlus sebelum ditarik pusaran air selepas setengah jam mandi.

“Selepas kami semua menyiapkan tugasan berkaitan akuatik ekosistem dan mengambil sampel air terma­suk menemubual orang ramai, kami mengambil keputusan untuk bersantai di situ.

“Perancangan untuk ke sini telah dibuat sejak seminggu lalu dan kami sepatutnya pergi ke kawasan air terjun esok namun diawalkan kerana tugasan perlu dihantar pada 20 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohamad Shahril Mohamad Sa'aid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.20 pagi sebelum bergegas ke lokasi berkenaan.

“Ketika tiba di lokasi, dua mangsa sudah ditemukan oleh orang awam dan usaha mencari dan menyelamatkan seorang lagi mangsa diteruskan. Kita menemukan mangsa terakhir pada pukul 11.21 pagi,” ujarnya.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.