Aliff Danial Bakhtiar Affan, 14, dan rakannya, Muhammad Shahrin Muhammad Rizal Sandah, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya maut di tempat kejadian akibat kecede­raan parah.

Turut meninggal dunia dalam kejadian pada kira-kira pukul 12.15 pagi itu ialah penunggang sebuah lagi motosikal yang terlibat dalam kemala­ngan tersebut iaitu Khairul Johan Ridzo Mohd. Joni, 26.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian Khairul Johan Ridzo yang me­nunggang motosikal Yamaha 125ZR dalam perjalanan dari Telok Gong menghala ke Pandamaran.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mang­sa bertembung dengan sebuah motosikal Honda Wave yang dinaiki dua rakan terbabit yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu ketiga-­tiga mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecede­raan parah pada beberapa baha­gian badan termasuk kepala serta di­sahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Am­puan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987,” ujar­nya.