Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, ketiga-tiga mangsa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Menurutnya, kes pertama melibatkan seorang pelajar maahad tahfiz di Jalan Langgar di sini yang diberi rawatan kecemasan pada 3 Jun pukul 10.48 malam di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah akibat kecederaan serius pada tangan kiri akibat mercun bola.

Ujarnya, kes tersebut turut tular di media sosial.

“Mangsa yang berusia 14 tahun mengalami patah pada tulang jari tengah, telunjuk dan ibu jari.

“Jari tengah turut kehilangan sebahagian daripada isi dan kulit jari berkenaan. Dia turut me­ngalami luka yang dalam di antara jari telunjuk dan ibu jari. Mangsa menjalani prosedur surgikal oleh pakar pembedahan bagi rawatan kecederaan berkenaan dan kini stabil dirawat di dalam wad,” katanya di sini hari ini.

Norhizan memberitahu, kes kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun yang dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah pada 6 Jun lalu pukul 10.28 malam kerana me­ngalami kecederaan ringan pada mata kiri iaitu kemerahan akibat terkena mercun.

Jelasnya, mangsa diberi rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang pada pukul 11.17 malam.