Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, sebanyak tiga buah rumah yang terletak di belakang Wisma Sabaruddin tersebut musnah 100 peratus.

Kebakaran terbabit menye­babkan keadaan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan yang terletak di tengah pusat bandar dan dapat dilihat beberapa kilometer dari lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khi­rudin Drahman berkata, pi­hak­nya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.15 pagi dan api berjaya dikawal pada pukul 11.35 pagi.

“Seramai 34 anggota dan lima jentera dikerahkan ke lokasi dari empat balai bomba melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Sentul, KLCC dan Hang Tuah.

“Setiba di lokasi didapati tiga buah rumah separuh kekal sedang terbakar dan pemadaman berjaya dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Khirudin, kebaka­ran berjaya dikawal 25 minit kemudian selepas bomba menerima panggilan tersebut.

“Unit siasatan kebakaran sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian ber­kenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan awal mendapati kebakaran berkenaan berpunca daripada litar pintas di sebuah rumah terbabit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemilik rumah yang mendiami rumah itu berjaya menyelamatkan diri.

“Pihak polis telah menasihati pemilik rumah untuk membuat laporan polis,” ujarnya.