Kesemua anggota Sukarelawan Darul Ta'zim (SDT) yang terdiri daripada anggota Pertubuhan Ihsan Johor, Kelab Amal Bakti, Santun Johor dan Briged Waqaf Johor Corporation itu berlepas dari Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, di sini, kira-kira 11.45 pagi tadi.

Majlis pelepasan disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan.

Berucap pada majlis pelepasan itu, Mohamed Khaled berkata, bantuan dihulurkan kepada Pulau Pinang atas sikap prihatin dan nilai ihsan terhadap masyarakat dalam menghadapi bencana tanpa mengambil kira fahaman politik dan sebagainya.

Beliau berkata, peranan SDT dalam membantu mangsa banjir bukan sesuatu yang baharu memandangkan pernah membantu mangsa banjir di Terengganu dan Segamat, sebelum ini.

"Saya baru maklumkan untuk menghantar SDT ke Pulau Pinang, semalam, dan dalam masa yang singkat, kami (kerajaan negeri) terima kesanggupan para sukarelawan untuk berlepas hari ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang bertungkus lumus mengumpul anggota untuk membantu meringankan beban mangsa banjir di Pulau Pinang dan ini membuktikan kita rakyat Johor amat prihatin terhadap bencana teruk yang melanda Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, bantuan sukarelawan berkenaan merupakan fasa pertama dan bantuan seterusnya seperti makanan dan sebagainya akan menyusul kemudian bergantung kepada keadaan semasa di negeri terbabit. - BERNAMA