Pegawai Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) daerah, Shamsul Izrin Isahak berkata, kejadian itu mengakibatkan 144 rumah dinaiki air selepas kawasan tersebut ditenggelami air sedalam satu meter.

“Hujan lebat selama lima jam tanpa henti menyebabkan air Sungai Ketil naik mendadak sehingga melimpah ke kawasan penempatan.

“Inilah banjir yang paling teruk berlaku pada tahun ini,” katanya di sini, hari ini.

Antara kampung terlibat ialah Telok Durian membabitkan lapan rumah, Tanah Periuk (9), Sera Bawah (3), Binjul Dalam (6), Charok Sikin (1), Lubuk Pedati (15), Banggol Lada (3), Banggol Saga (1) dan Bongor Sekolah (6).

Menurutnya, air mulai surut sekitar 5 pagi hari ini namun de­ngan keadaan cuaca yang masih mendung, penduduk perlu bersiap sedia jika kawasan tersebut dilanda banjir semula.

“Semua mangsa tidak dipindahkan sebaliknya mereka beredar ke tempat yang selamat, namun begitu mereka harus berjaga-jaga sekiranya banjir berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, persiapan sedang dilakukan untuk membantu mangsa-mangsa banjir terlibat.

“Kita akan membuka bilik gerakan dan segera membantu mang­sa-mangsa sekiranya banjir ber­ulang lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.