Pelepasan kumpulan sukarelawan itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di sini sebentar tadi.

“Saya ingin ucapkan tahniah atas keupayaan saudara dan saudari semua kerana berjaya kumpulkan sukarelawan dan melaksanakan misi bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

“Kita menghantar bantuan itu kepada Pulau Pinang kerana mereka juga rakyat Malaysia. Jadi, saya harap sukarelawan negeri ini menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu mereka,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Khaled turut mengingatkan para sukarelawan supaya berhati-hati dan mengikut arahan diberikan dalam melaksanakan misi berkenaan.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong. - UTUSAN ONLINE