Kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 3.50 pagi itu turut memusnahkan sebuah rumah yang terletak di belakang kedai berkenaan ekoran api merebak dengan pantas.

Penghuni rumah terbabit, Suzila Mustafa, 41, yang merupakan seorang tentera berkata, ketika kejadian, dia dan keluarga sedang nyenyak tidur di rumah berkenaan.

Menurutnya, dia terjaga daripada tidur selepas berasa panas akibat bahang kebakaran sebelum ternampak api menjulang tinggi sedang membakar kedai motosikal terbabit.

“Saya terus mengejutkan semua anggota keluarga termasuk ibu dan kami semua keluar menerusi pintu dapur. Kami gagal menyelamatkan semua barangan termasuk pakaian.

“Semua pakaian dan koleksi kuih hari raya yang kami beli sejak awal Ramadan turut hangus. Namun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun kami kehilangan harta dan tempat tinggal,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, ibu Suzila, Che Hasmah Deris, 62, berkata, anaknya yang bertugas di Kem Desa Pahlawan boleh dianggap sebagai wira kerana menyelamatkan nyawa mereka sekeluarga.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 3.57 pagi.

Menurutnya, seramai 19 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Machang dan Jertih, Terengganu terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke rumah berdekatan.

“Punca dan anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.