Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, Mohamad Iman Firdaus Razak Jaffry, 19, dan sahabatnya, Muhammad Eizlan Nor Azman, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kedua-dua rakan karib itu masing-masing dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Pasak di sini dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 125z selepas menonton bola sepak Piala Dunia di sebuah kedai mamak di bandar ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, kedua-dua mangsa menaiki motosikal masing-masing dari arah Kota Tinggi menuju ke Sungai Rengit.

"Sejurus sampai di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa gagal mengawal motosikal mereka dan bergesel sesama sendiri sehingga memasuki laluan bertentangan.

"Mereka kemudiannya bertembung dengan sebuah lori dari arah Sungai Rengit yang tidak sempat membrek dan mengelak kedua-dua mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE